"Dengan Nama Allah S.W.T Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"
"Wallahua'lam"
Alhamdulillah
berakhir sudah kem akhir pembimbing rakan sebaya semester 2 sesi 2011/2012. Kem
yang memberi seribu satu kenangan. Kem ini telah melibatkan 121 orang peserta.
Peserta-peserta terdiri daripada para pelajar yang mengambil khusus Pembimbing
Rakan Sebaya, CPR 2011. Kem ini turut dibantu oleh 12 orang fasilitator dan 3
orang instruktor. Bertempat di Kem Desa Selesa, Sungai Samak, Tanjung Malim,
Perak. Kem ini telah berlangsung selama dua hari satu malam. Ribuan terima
kasih buat Dr. Syed Sofian Bin Syed Salim selaku pensyarah khusus CPR 2011 dan
penasihat kem ini, barisan instruktor dan fasilitator seterusnya
sahabat-sahabat yang menyertai kem akhir pembimbing rakan sebaya kerana memberi
peluang kepada saya untuk merasai pengalaman berharga ini.
Setiap
masa, sepanjang program terisi dengan seribu satu pengalaman dan pengisian yang bermanfaat. Yang masih terpahat di hati,
dan dicoret kan sebagai refleksi. Sebagai pembimbing rakan sebaya, para peserta
selalu diingatkan mengenai persahabatan. Perkongsian kisah daripada instruktor
dan fasilitator menyentuh hati. Bagi saya sendiri, terasa diri ini perlu lebih
menghargai erti sebuah persahabatan selepas pulang dari kem ini. Erti sebuah
persahabatan lebih bermakna jika kita mampu menjadi sahabat yang baik. Rugi
jika sepanjang penggajian kita tidak mempunyai sahabat, lebih rugi lagi jika
tidak menjadi seorang sahabat kepada
orang lain. Persoalan yang timbul di dalam hati, adakah saya seorang sahabat
yang bermakna dalam hidup seseorang? Mungkin persoalan ini tidak pernah timbul
sebelum menghadiri kem ini. Alhamdulillah, hati makin terisi apabila faham erti
persahabatan . Kisah Rasulullah s.a.w dengan buah oren, menyentuh hati, akhlak
baginda sungguh mulia, ini panduan yang perlu dicontohi untuk menjadi seorang
sahabat yang baik. Antara pengisian yang perlu ada dalam sebuah persahabatan
yang saya dapat dari kem ini ialah, pertama perlu letakkan tujuan kita
bersahabat, bukan itu sahaja malah persahabatan harus dijalin dengan keikhlasan
hati yang tulus, dari sebuah keikhlasan maka akan timbul sebuah pengorbanan
yang mengetepikan kepentingan diri. Walaupun tidak ada nilai di mata manusia,
tetapi bagi seorang sahabat yang mengingati dan menghargai, apa yang berlaku di
dalam sebuah persahabatan akan tetap terpahat di hati.
Sebelum
ke kem akhir PRS ini, saya sudah banyak kali ke perkhemahan-perkhemahan lain
yang menekankan apa peranan guru. Mungkin objektif utama kem ini tidak
memfokuskan kepada peranan seorang guru, namun pengisian yang terselit ada yang
menarik untuk diingati. Masih berlegar di ingatan, kata-kata seorang
instruktor, berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan mengambil jurusan
pendidikan adalah untuk orang yang terpilih, dan berada di jalan yang dipilih
dan diredhaiNYA. Bukan semua orang terpilih untuk menjadi seorang pendidik. Selangkah
kita melangkah di dunia ini, yang Maha Esa telah menjanjikan ganjaran pahala
jika kita ikhlas kerana ALLAH s.w.t. Tersentuh di hati, tatkala berbicara
mengenai minat. Kata-kata seorang instruktor lagi, minat harus dipupuk supaya
kita ikhlas menjadi pendidik kelak. Syukur diberi kesedaran di dalam kem ini. Perkongsian
pengalaman dari instaruktor, terpahat di hati. Seorang guru akan diingati oleh
pelajarnya, jika dia mampu meninggalkan sesuatu di hati mereka. Persoalan yang
timbul, “apa yang akan saya tinggal buat generasi akan datang?”, jika sepanjang
berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini saya tidak menyiapkan diri
dengan bekalan yang secukupnya. Motivasi adalah apabila kita tersedar dan
mengambil tindakan atas kesedaran itu.
Kerjasama
berkumpulan akan diketengahkan di mana-mana kem sekali pun, namun ada pengisian
baru di dalam kem ini. Saya rasa, diri lebih aktif berbanding program-program
yang dilalui sebelum ini. Modul-modul dan aktiviti-aktiviti dijalankan lebih
melibatkan penglibatan setiap ahli kumpulan. Selain ditekankan kemahiran
berfikir, tahap keyakinan diri turut dapat ditingkatkan melalui aktiviti
lakonan dan nyanyian. Percambahan idea semasa aktiviti sangat memberangsangkan.
Alhamdulillah, ahli kumpulan saya mampu mengawal dan bertolak ansur dari segi
pemilihan idea untuk menyelesaikan permasalahan. Aktiviti-aktiviti yang tidak
terlalu berat menyebabkan perjalanan kem tidak terlalu letih namun yang penting
ada pengisian yang terpahat di hati. Setiap aktiviti melibatkan kerja
berkumpulan, mampu memberi ketahanan fizikal dan mental dan mampu dipraktikkan
semangat bekerjasama dan saling memahami dalam menyelesaikan tugasan-tugasan di
universiti kelak. Antara pengisian kerjasama berkumpulan yang saya dapat di
dalam kem ini ialah bertolak ansur, sifat ‘humor’, penglibatan dan sikap tidak
pentingkan diri. Kemenangan bukan keutamaan bagi sesebuah kumpulan, namun apa
usaha yang dilakukan, itulah sepatutnya diutamakan.
Akhir
kata, manusia tidak sempurna dari tidak melakukan kesalahan, begitu juga bagi
pengendalian kem akhir pembimbing rakan sebaya semester 2 sesi 2011/2012, ada
penambahbaikan yang perlu bagi kebaikan bersama. Objektif kem ini masih belum
tercapai apabila ada sikap pentingkan diri. Para peserta dapat dilihat ketika
menjamu selera, di akhir kem ini ada peserta yang tidak dapat makanan . Sikap
pentingkan diri menyebabkan makanan yang sepatutnya cukup, menjadi tidak cukup.
Antara pengalaman baru bagi saya untuk kem ini, ialah saya menjadi pengacara
majlis bagi majlis penutup. Selain itu, merentasi arus sungai juga merupakan
pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Semoga apa yang dititipkan di dalam kem
ini akan terus saya manfaatkan untuk diri ini dan orang lain. Sesungguhnya,
ilmu tanpa amal sia-sia, amalan tanpa ilmu tindakan yang kurang bijak.
"Wallahua'lam"
No comments:
Post a Comment